MAJLIS APRESIASI ATLET JABATAN PENDAFTAR 2025
Pekan, 8 Ogos 2025 (Jumaat)
Jabatan Pendaftar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Atlet 2025 bertempat diBilik Mesyuarat Utama Jabatan Pendaftar, UMPSA Pekan. Majlis ini diadakan bagi menghargai sumbangan dan pencapaian para atlet jabatan yang telah mewakili dalam Kejohanan Sukan Staf Antara Jabatan (INTER PTJ) UMPSA 2025. Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama KESMUA itu turut dihadiri oleh barisan pengurusan tertinggi jabatan termasuk Pendaftar merangkap Ketua Pegawai Operasi dan Pengarah Kanan, yang hadir bagi menyempurnakan penyampaian sijil penghargaan dan anugerah kepada para atlet.
Program ini menghimpunkan semua atlet dan staf Jabatan Pendaftar dalam satu majlis santai yang bertujuan untuk menyemarakkan semangat kesukanan, memupuk ukhuwah antara warga jabatan, serta memberi pengiktirafan kepada individu dan pasukan yang telah berjaya mengharumkan nama jabatan. Sepanjang kejohanan INTER PTJ 2025, para atlet Jabatan Pendaftar telah menunjukkan komitmen yang tinggi walaupun berhadapan dengan kekangan masa latihan.
Menurut En. Ahmad Salimi Ashaari, salah seorang atlet dan kakitangan jabatan, “Tiada persediaan yang optimum bagi kejohanan kerana kekangan masa untuk menjalani latihan. Namun begitu, komitmen dan semangat berpasukan amat tinggi dalam kalangan atlet dan ini telah membantu memastikan penyertaan jabatan tetap berjalan lancar. Tambah En. Ridhuwan, seorang lagi peserta kejohanan, penglibatannya bukan sahaja menyumbang kepada kejayaan pasukan, malah mempereratkan hubungan antara rakan sekerja. “Saya dapat mengenali rakan sekerja dengan lebih rapat serta membina hubungan yang lebih baik melalui aktiviti sukan,” katanya.
Antara pencapaian membanggakan ialah kemenangan pingat gangsa dalam acara Tenpin Bowling menerusi kategori pasukan wanita. Pasukan wanita terdiri daripada Puan Yusmaliza Kamela Mohamed Ali, Puan Nurul Mardhian Mahusin, Puan Norhajar Sukeri dan Puan Sarinah Shaari.
Majlis ini turut menjadi platform untuk memperkukuhkan kerjasama dan semangat kekitaan dalam kalangan warga Jabatan Pendaftar. Ia juga diharap dapat menjadi dorongan kepada lebih ramai staf untuk aktif menyertai program sukan dan rekreasi di masa akan datang. Dengan pelaksanaan yang meriah dan penuh penghargaan, Majlis Apresiasi Atlet Jabatan Pendaftar 2025 bukan sahaja mencerminkan penghormatan terhadap pencapaian atlet, malah mengangkat semangat sukan sebagai pemacu keharmonian dan produktiviti jabatan.
Sekian, terima kasih